KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan hari ini memaklumkan dua orang anggota tenteranya hilang ketika bertugas di Pulau Perak.

Menurut satu kenyataan, kementerian itu berkata, kedua-dua anggota itu adalah daripada Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

“Ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam 19 Julai 2019 ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

“Usaha mencari dan mengesan dua anggota tersebut telah dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan,” katanya dalam kenyataan satu muka surat itu.

Tambah kementerian itu, usaha pencarian dihentikan pada awal pagi Sabtu lalu berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang amat terhad.

Usaha mencari dan menyelamat disertai Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dua anggota 4RRD itu sedang melaksanakan OP Pejarak di Pulau Perak dan usaha pencarian telah dipergiatkan bagi memastikan anggota tersebut ditemui dengan secepat mungkin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast