KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenakan lebih banyak cukai kepada orang kaya berbanding golongan miskin, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, langkah itu bersesuaian dengan prinsip percukaian, bagaimanapun perdana menteri tidak mengulas lanjut mengenai cukai berkenaan.
Menurut Dr Mahathir, beliau telah meneliti kehendak rakyat dalam Bajet 2020 iaitu mereka mahu cukai diturunkan dan subsidi ditambah.
Bagaimanapun, kerajaan tidak mampu untuk menunaikan hasrat tersebut.
“Rakyat mahu cukai diturunkan tetapi subsidi ditambah. Ini bercanggah. Jika kerajaan mahu memberi subsidi, kerajaan perlu ada duit.
“Jika cukai diturunkan dengan lebih rendah, kita sudah tidak mampu memberi subsidi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa 2019 di sini hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, di bawah kerajaan Pakatan Harapan subsidi hanya diberikan kepada golongan yang layak sahaja.
Butiran penerima subsidi katanya, akan diperincikan walaupun mereka terdiri daripada kumpulan B40.
Pembentangan Bajet 2020 akan dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, esok. – MalaysiaGazette
















