KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen esok diharap bersifat inklusif, menyeluruh serta mesra rakyat.
Malah segala kelemahan dan kepincangan pada Belanjawan 2019 yang berakhir dengan kekecewaan rakyat tidak seharusnya berulang.
Itu adalah harapan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu kepada MalaysiaGazette.
Jelas Thinalan, rata-rata rakyat masih lagi berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat membentangkan belanjawan tidak retorik dan hangat-hangat taik ayam, bukan seperti janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
“Sebagaimana janji-janji manifesto PRU-14 Pakatan Harapan yang tinggi mengawan, tetapi akhirnya terbukti gimik politik bagi meraih sokongan rakyat, Belanjawan 2019 juga menampakkan beberapa kelemahan dan kegagalan perlaksanaannya.
“Saya beri beberapa contoh termasuk walaupun RM2 billion telah diperuntukkan bagi program subsidi petrol di bawah Belanjawan 2019, namun ianya bakal dilaksanakan hanya mulai Januari 2020.
“Pengumuman yang dibuat beberapa hari yang lepas secara tergesa-gesa jelas ternyata bagi membolehkan kerajaan menyenaraikannya sebagai salah satu kejayaan Belanjawan 2019.
“Kementerian Belia dan Sukan pula telah diperuntukkan RM1.11 bilion bagi agenda pembangunan belia dan sukan negara. Adakah ianya telah digunapakai dengan efisien? Apakah ‘end results’ yang telah dicapai? Tiada rangka tindakan bagi RM10 juta yang diluluskan bagi program e-Sports dan arena sukan negara pula masih tidak memaparkan impak positif walaupun dengan peruntukan dana RM100 juta.
“Bagaimanakah RM1 bilion lagi dibelanjakan? Menterinya, Syed Saddiq lebih gemar ber’selfie’ dan campur tangan di dalam urusan kementerian lain, lebih daripada menyantuni keperluan dan pembangunan golongan muda.
“Anehnya, Syed Saddiq memohon lagi RM6 bilion di bawah Belanjawan 2020, kononnya bagi mengwujudkan 350,000 peluang pekerjaan baru. Berapakah peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui peruntukan RM1 billion terdahulu?,” soalnya.
Thinalan terus mempersoalkan peruntukan RM100 juta yang dikhususkan untuk kaum India dalam Belanjawan 2019 bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi yang mana tiada sebarang pencapaian positif setakat ini.
Malah sehingga kini katanya, masih lagi wujud persoalan dan kontroversi tentang senarai penerima dana serta mekanisme perlaksanaannya.
“Kami Pemuda MIC berharap Belanjawan 2020 merangkumi inisiatif-inisiatif yang mampu memperkasakan golongan muda dari segi latihan, pendidikan dan kerjaya.
“Tolonglah wujudkan peluang kerjaya yang mencerminkan kelayakan individu, dan bukannya mendorong mereka ke arah Gojek, FoodPanda atau Grab. Jangan retorik sahaja.
“Gaji minimum kakitangan awam dan swasta perlu ditingkatkan. Kadar gaji di Malaysia tidak meningkat seiring dengan kadar kos sara hidup, malah ada laporan mengatakan gaji yang diberi tidak setimpal dan tidak relevan. Jangan sekadar cakap sahaja untuk kempen undi.
“Tatkala kebajikan kumpulan B40 diberi keutamaan, golongan berpendapatan sederhana (M40) jangan pula diabaikan. Golongan M40 yang majoritinya menetap di kawasan bandar berhadapan dengan kos sara hidup makin meningkat dengan impak ekonomi yang besar.
“Ini bukan soal politik, siapa betul siapa menang, kami berharap Belanjawan 2020 menawarkan insentif dalam bentuk infrastruktur dan juga pemotongan cukai kepada golongan M40,” ujarnya.
Selain itu, Thinalan juga melahirkan harapan tinggi kebajikan dan keperluan masyarakat India diberi tumpuan pada Belanjawan 2020.
Jelasnya, pelan dan dana bagi pembangunan sosio ekonomi masyarakat India dilaksanakan secara efektif.
“Utamakan bidang pendidikan yang menjadi teras transformasi masyarakat India. Bidang pembangunan keusahawanan kaum India yang kurang diberi perhatian di bawah Belanjawan 2019 diharap diberi fokus di dalam Belanjawan 2020,” kata beliau. –MalaysiaGazette
















