KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan cedera selepas sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan 2/48A Bandar Baru Sentul menghempap sebuah rumah petang semalam.

Kren tersebut dilaporkan menghempap tiga rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di lokasi terbabit.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.34 petang.

Katanya, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.

Ujarnya, sejurus tiba 12 minit kemudian pasukan penyelamat mendapati sebuah kren dari tapak pembinaan di seberang jalan telah tumbang serta melintangi jalan.

“Keadaan kren itu yang melintangi serta menghadang jalan turut menghempap sebuah rumah dan sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan kemudian mendapati dua wanita, seorang lelaki dewasa dan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan cedera,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, punca kejadian sedang disiasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast