KUALA LUMPUR – Masih ramai pemilik tanah Kampung Baru yang meganggap nilai tanah mereka lebih tinggi berbanding tawaran yang diberikan kerajaan.
Bagaimanapun mereka tidak membuat penilaian secara profesional, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Menurut beliau, situasi itu mengakibatkan timbul kekeliruan dalam kalangan pemilih tanah kawasan itu yang akhirnya enggan menjualnya kepada kerajaan.
Membetulkan laporan sebelum ini, Khalid berkata, setakat ini hanya 97 peratus penduduk daripada 50 peratus keseluruhan yang memberi maklum balas terhadap pelaksanaan perancangan pembangunan Kampung Baru dan bersetuju untuk menjual tanah mereka.
“Saya nak betulkan laporan sebelum ini 97 peratus yang bersetuju itu adalah daripada 50 peratus penduduk yang sebelum ini memberi maklumbalas.
“Mungkin mereka keliru tentang nilai tawaran mereka menganggap nilai tanah itu jauh lebih tinggi walaupun tidak ada penilaian secara rasmi atau profesional yang mereka lakukan, mereka anggap berdasarkan khabar angin,” katanya ketika sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Khalid berkata ramai penduduk sehingga kini masih tidak faham tentang nilai tanah mereka akan semakin meningkat selepas ia dibangunkan.
“Pemilik oleh dapat manfaat daripada peningkatan nilai hartanah itu kalau dilaburkan balik dalam Kampung Baru itu,” tambahnya.
Justeru ujarnya, dalam masa enam bulan ini penduduk akan diberi pnerangan tentang konsep pembangunan Kampung Baru yang sebelum ini dijangkakannya selesai Jun nanti.
“Pertama pemilik tanah kena setuju konsepnya, bila sudah setuju kita akan buat perjanjian selepas itu dan beri kepada mereka untuk diteliti dan ada pandangan boleh dipinda tapi sekarang ini yang kita mahu tahu siapa yang pada dasarnya setuju untuk jual,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















