KUALA LUMPUR – Kejatuhan Bursa Malaysia bukan hanya didorong oleh masalah dalaman dan kemelut politik negara tetapi isu yang lebih kritikal adalah penularan wabak koronavirus baru atau Covid-19.
Covid-19 yang merebak dengan cepat di seluruh dunia telah mencetuskan kebimbangan ketara, sekali gus mempengaruhi kejatuhan saham-saham global.
Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli berkata, saham di Amerika Syarikat turut mengalami kejatuhan kuat, begitu juga China, Eropah dan Asia.
“Kejatuhan saham bukan di Malaysia sahaja, maksudnya kejatuhan ini disebabkan isu wabak koronavirus yang berlaku di kebanyakan dunia termasuk Amerika Syarikat,” katanya di sini.
Bagaimanapun, beliau optimis pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan dan kejelasan pentadbiran kerajaan tidak lama lagi pasti akan menyuntik sentimen positif walaupun indeks FBM KLCI masih di bawah paras psikologi 1,500 mata.
Jelas Nazarry, biarpun situasi di Bursa Malaysia berada dalam senario terlebih jual tetapi keadaan itu akan pulih dan menarik semula minat pelabur-pelabur.
“Buat masa ini, bursa di bawah 1,500 mata, kejatuhan pang rendah sejak tahun 2011. Indeks sangat rendah.
“Tetapi kalau kita lihat dari sudut positif, harga saham dalam keadaan murah, yang mana ia akan menarik kembali pelabur-pelabur untuk membeli saham semasa harga rendah,” ujarnya.
Kebanyakan penganalisis tempatan mengunjurkan kedudukan FBM KLCI berada pada sekitar 1,570 hingga 1,600 mata tahun ini.
Ketika dibuka pada 9.06 pagi tadi, FBM KLCI naik 14.24 mata atau 0.97 peratus kepada 1,481.18 berbanding penutup semalam 1,466.94 mata. – MalaysiaGazette
















