KUALA LUMPUR – Polis Labuan telah menggerakkan operasi untuk mengesan 10 lagi peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling yang ada daerah itu yang masih belum menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mereka adalah sebahagian daripada 54 peserta ijtimak tabligh yang diadakan bermula 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
“Bagaimanapun kita berjaya menjejaki 44 orang peserta yang ada di Labuan.
“Mereka semua disaring ujian koronavirus 2019 dan hanya empat daripadanya disahkan positif virus tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, manakala 40 lagi peserta berkenaan yang menjalani ujian saringan itu didapati negatif Covid-19.
Manakala katanya, seramai 10 individu peserta tabligh itu masih belum tampil menjalani ujian saringan Covid-19 dan mereka gagal dikesan setakat ini.
“Tindakan mengesan dan menjejaki baki 10 pagi peserta di Labuan sudah digerakkan polis bersama pegawai perubatan.
“Kita yakin akan dapat menjejaki mereka dan membawa 10 orang peserta yang masih belum tampil secara sukarela itu kepada ujian saringan Covid-19 dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang bawah Seksyen 15(2) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan ujian saringan Covid-19 dan Seksyen 15(2) Akta yang sama bagi melaksanakan tugas itu,” katanya. -MalaysiaGazette
















