Calon bebas, Prof. S. Sentharasekaran (kiri) menaiki motosikal bersama penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Ladang Kelapa Bali, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Calon Bebas, S Santhasekaran mengakui beliau menggunakan wang sendiri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Bekas pendidik itu berkata, beliau tidak risau jika kehilangan wang pertaruhan kerana yang penting adalah keikhlasan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Jelas beliau, sekiranya seorang itu benar-benar ikhlas, ganjaran akan diterima di kemudian hari.

“Dana adalah sendiri, maka saya tidak risau dan yang penting keikhlasan hati kerana jika kita ikhlas, tuhan akan tentukan dan tidak perlu bayar apa-apa sebenarnya dan hendak dapat ganjaran.

“Semuanya tidak perlu kerana pengundi tahu mana yang perlu dipilih dan tuhan akan beri hidayah dan saya yakin boleh jadi YB (Yang Berhormat) DUN Slim pada 2020,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini semalam.

Calon bebas, Prof. S. Sentharasekaran (kanan) berbual bersama penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Ladang Kelapa Bali, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2020.

Pada PRK DUN Slim ini, Santhasekaran akan berdepan dua calon iaitu daripada Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PRK ini merupakan peluang yang perlu diambil untuk bertanding selepas kematian penyandang, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.

Beliau turut memberi gambaran tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mahu bertanding di Parlimen Tanjung Malim.

“Darah yang mengalir adalah darah politik dan saya seorang pendidik, memang tegas untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya yang menggunakan lambang buku pada PRK DUN Slim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast