Nora Anne Quoirin

KUALA LUMPUR – Prosiding siasatan kes kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang bermula Isnin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban, akan disiarkan secara langsung dalam talian.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kenyataan di sini, hari ini menyatakan, orang ramai boleh menyaksikannya melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ bermula Isnin, pada pukul 9 pagi.

“Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan penstriman langsung mengenai prosiding itu,” menurut kenyataan itu.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu di hadapan Koroner Maimoonah Aid, bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, jelas kenyataan itu.

Mayat Nora Anne, ditemukan berhampiran anak sungai di kawasam berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya bersama keluarga di Jalan Pantai, di sini pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast