KUALA LUMPUR – Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam Op Benteng oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 K-A-D) dalam serbuan yang dilakukan pagi ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak memaklumkan, serbuan dibuat pukul 5 pagi selepas pasukan mengatur gerak empat Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron BSPP untuk melaksanakan tinjauan rapat.
Katanya, pasukan tersebut berjaya mengesan lokasi PATI yang ketika itu berkumpul di dalam hutan Tanjung Lompat.
“Tim QRF seterusnya mengepung lokasi PATI berkumpul dan melaksanakan serbuan sekitar pukul 5.00 pagi.
“Serbuan tersebut telah berjaya menangkap 26 orang PATI warga Indonesia yang terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan perempuan berusia sekitar 20 hingga 49 tahun.
“Kesemua PATI yang ditangkap dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan yang tidak sah,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
Katanya, laporan polis mengenai tangkapan yang dilakukan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Ujarnya, nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 48,977.18 yang melibatkan wang tunai RM 20,005.25 dan matawang Indonesia IDR 21,797,040 Rupiah (RM 6,168.44) serta 34 buah telefon bimbit, 23 buah jam tangan pelbagai jenama dan beberapa jenis barang kemas.
Tambah kenyataan itu lagi, pasukan kini meneruskan aturgerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – MalaysiaGazette
















