Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memberi sumbangan ketika di Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah Covid-19 Jakim di Kompleks Islam Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan bincang keperluan untuk melaksanakan kembali pernikahan menerusi atas talian (online) di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB), kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Tambah beliau, ia termasuklah perbincangan mengenai mekanisme dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi majlis perkahwinan sekiranya PKPB dilanjutkan selepas 27 Oktober nanti.

Menurutnya, sebarang perubahan berhubung ketetapan kerajaan akan dinilai berdasarkan perkembangan semasa Covid-19.

“Dalam tempoh PKPB ini semua majlis pernikahan di masjid kita tidak benarkan dan juga untuk perkahwinan di pejabat-pejabat agama pun kita tangguhkan sehingga selesai 27 Oktober ini.

“Kita tengok kalau disambung lagi, mungkin kita akan bincangkan bagaimana mekanisme perkahwinan cuma yang kita terima sekarang ini di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah pendaftaran sahaja.

“Nikah online, kita akan bincangkan kewajarannya untuk dikembalikan. Sekarang tidak boleh, belum diputuskan untuk menggunakan kembali pendekatan itu.

Kalau ada lanjutan PKPB. kita umumkan nanti, ia dalam perbincangan kita bersedia bila-bila masa untuk bincang sebarang perkembangan,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Marzuk berkata sehingga kini pendaftaran pernikahan sahaja yang dibenarkan.

Untuk rekod, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan, sambutan ulang tahun, tahlil dan majlis sosial lain tidak dibenarkan diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast