PETALING JAYA – Seorang penjawat awam di mahkamah yang dikatakan menyamar sebagai majistret dan dua pegawai kanan polis ditahan atas kesalahan menipu pemilik syarikat aplikasi judi atas talian lebih RM303,000.
Ketiga-tiga suspek didakwa mengambil wang itu dalam not dollar Singapura sebanyak $99,000 dengan alasan menyelesaikan kes mahkamah dan mengelak mangsa daripada dicekup polis.
Kedua-dua pegawai polis terbabit berpangkat Asisten Superintendan dan inspektor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu pada 2 Oktober lalu sekitar 6 petang di pejabatnya selepas diserbu polis dan pengadu dan 35 pekerja telah ditahan.
Katanya, mangsa dan kesemua pekerjanya direman tiga hari namun pengadu mendakwa pada 4 Oktober lalu dia sudah dibawa ke Balai Polis Seapark sebelum dimasukkan di bilik pegawai penyiasat kanan polis.
“Menurut pengadu, pada masa itu seorang lelaki warga tempatan iaitu suspek kedua mengaku dirinya sebagai orang tengah kepada (pengadu) kononnya dia (suspek kedua) boleh menyelesaikan kesemua kes yang dibuka ke atas pengadu berkenaan iaitu menyelesaikan kes yang disiasat terhadap pengadu dan pekerjanya, membatalkan sambungan reman terhadap pengadu dan pekerjanya serta memulangkan kesemua barang kes yang teah dirampas semasa serbuan dengan syarat membayar wang RM800,000.00.
“Kesemua perbualan dan tawaran wang yang diminta untuk menyelesaikan kes pengadu itu berlaku di hadapan suspek pertama di dalam bilik pegawai penyiasat itu.
“Setelah itu suspek (pegawai penyiasat) menghubungi pakar judi (nama tidak diberitahu) supaya laporan pakar judi yang dikeluarkan negatif dan ditutup selain suspek pertama itu juga telah menghubungi ‘majistret’ (suspek ketiga) untuk datang ke biliknya di balai polis yang sama,” katanya dalam sidang media kejayaan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, sekitar 10 minit kemudian seorang lelaki datang iaitu suspek ketiga sebelum memperkenalkan diri kepada pengadu sebagai ‘majistret mahkamah.
Menurutnya, suspek pertama mengarahkan suspek ketiga (majistret) membatalkan sambung reman terhadap pengadu dan pekerjanya sebelum pengadu menganggap suspek pertama boleh menolong menyelesaikan kesnya dan bersetuju menguruskan wang seperti yang dituntut.
Kemudian katanya, pengadu menghubungi isterinya untuk menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM300,000 dan mengarahkan isteri bersama rakannya menyerahkan wang tersebut kepada suspek kedua.
“Pada 5 Oktober lalu lebih kurang jam 11 pagi isteri pengadu bersama lelaki tempatan menyerahkan wang tunai berjumlah SD$99,000 kepada suspek kedua semasa berada di tempat letak hadapan sebuah restoran makanan segera di Petaling Jaya.
“Bertindak atas maklumat pada 4 November lalu sepasukan polis Bahagian JSJ IPD PJ membuat tangkapan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 34 tahun dan seorang lelaki asing berusia 29 tahun bagi membantu siasatan tipu kes mahkamah.
“Kesemua suspek kini ditahan selama tiga hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
Rentetan itu, kata Nik Ezanee, semalam kira-kira pukul 2.30 petang, sepasukan polis JSJ Komersial PJ membuat tiga tangkapan melibatkan dua orang pegawai kanan polis berpangkat ASP berumur 38 tahun dan Inspektor berusia 34 tahun yang bertugas di IPD tersebut serta seorang penjawat awam yang bertugas di Mahkamah Petaling Jaya berusia 49 tahun dan direman untuk siasatan lanjut.
“Kita juga merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam tangan Omega, tiga pasang kasut jenama Adidas, dua rantai kunci dan sekeping pasport,” tegas beliau.-MalaysiaGazette
















