LISBON – Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa mengisytiharkan darurat selama 15 hari mulai 9 November hingga 23 November ini untuk membendung wabak Covid-19.
“Saya baru saja menandatangani keputusan mengenai keadaan darurat kedua akibat wabak Covid-19 yang telah melanda selama lapan bulan,” kata presiden itu.
Perdana Menteri Portugis Antonio Costa meminta presiden mengisytiharkan keadaan darurat itu pada minggu ini – inisiatif yang dipersetujui oleh Parlimen.
Keadaan darurat adalah tahap perlindungan awam tertinggi di Portugal.
Sebelum ini pengisytiharan sama telah berlaku antara 19 Mac dan 2 Mei tahun ini, dengan dua pembaharuan berturut-turut selama 45 hari, yang memungkinkan sekatan kebebasan bergerak dan penggunaan kemudahan kesihatan sektor swasta.
Keputusan darurat semasa mengatakan sekatan yang diperlukan mungkin dikenakan oleh pihak berkuasa awam untuk mengurangkan risiko penularan dan melaksanakan langkah-langkah mencegah dan memerangi wabak tersebut, terutama di bandar-bandar dengan risiko lebih tinggi.
Tidak akan ada kurungan wajib, tetapi perjalanan “dibenarkan untuk aktiviti profesional, untuk rawatan kesihatan, bantuan kepada pihak ketiga, menghadiri kelas dan membekalkan barang dan perkhidmatan” akan dibenarkan serta pergerakan “untuk alasan lain” seperti yang ditentukan oleh kerajaan.
Majlis Menteri Eksekutif Portugis akan bermesyuarat pada hari Sabtu untuk menentukan perincian dan menentukan sekatan dan pengecualian yang akan dikenakan di negara itu mulai minggu depan.
Ketika dunia sedang berjuang untuk mengawal pandemik, negara-negara di seluruh dunia – ntaranya Jerman, China, Rusia, Inggeris dan Amerika Syarikat – berlumba-lumba mencari vaksin.
Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia, setakat 3 November, terdapat 202 calon vaksin Covid-19 yang dibangunkan di seluruh dunia dan 47 daripadanya dalam ujian klinikal. – MalaysiaGazette
















