KUALA LUMPUR – Selangor kekal mencatatkan kes harian positif baharu Covid-19 tertinggi hari ini iaitu 776 kes atau 37.5 peratus daripada keseluruhan 2,068 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 425 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 457 kes (22.1 peratus) dan Sabah sebanyak 254 kes (12.3
peratus).
“Sebanyak 18 kes (0.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (empatkes) dan Kluster Pagar Siput (satu kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah adalah 23,433 kes.
Dalam pada itu, DR Noor Hisham berkata, sebanyak 2,230 kes sembuh pada hari ini, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak
91,171 kes.
Tambah beliau, shingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 474 kes.
Dalam pada itu terdapat tiga kluster baharu dikenalpasti oleh KKM selain empat diisytihar tamat hari ini.
Kluster itu adalah Kluster Rawa Akasia di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.
Seterusnya Kluster Jalan Perindustrian di Kulai Johor dan ketiga Kluster Rantau Semarak di Pahang dan Gombak. – MalaysiaGazette
















