Lucile Randon. foto Agensi

PARIS – Seorang biarawati Perancis yang merupakan wanita tertua di Eropah kembali pulih selepas dijangkiti Covid-19, hanya beberapa hari sebelum ulang tahunnya yang ke-117.

Lucile Randon, yang dikenali sebagai Andre, positif koronavirus pada 16 Januari lalu tetapi tidak mengalami sebarang gejala.

Andre memberitahu media tempatan bahawa dia tidak menyedari telah dijangkiti dengan virus tersebut.

Dia mengasingkan diri daripada penduduk lain di rumah persaraannya di Toulon, selatan Perancis, tetapi kini pulih sepenuhnya.

Andre, yang buta dan menggunakan kerusi roda, sudah tidak sabar untuk menyambut ulang tahunnya pada hari Khamis ini.

“Dia sangat beruntung,” kata David Tavella, jurucakap rumah persaraan Sainte Catherine Laboure.

Travella memberitahu akhbar Var Matin: “Dia tidak bertanya tentang kesihatannya, tetapi tentang kebiasaannya. Contohnya, dia ingin tahu apakah jadual makan atau waktu tidurnya akan berubah.

“Dia tidak takut akan penyakit ini. Sebaliknya, dia sangat prihatin terhadap orang lain”.

Andre dilahirkan pada 11 Februari 1904.

Selain sebagai orang tertua di Eropah, dia juga merupakan orang kedua tertua yang hidup di dunia, menurut Senarai Kedudukan Dunia Supercentenarian Gerontology Research Group (GRG).

Ketika ditanya oleh penyiar Perancis BFM apakah dia takut dijangkiti Covid-19, Andre berkata: “Tidak, saya tidak takut, kerana saya tidak takut mati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast