Rizuwandi (kiri) bersama peguamnya, Nik Saiful Adli bersyukur terlepas dari hukuman penjara.

KOTA BHARU – Seorang pemandu lori dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan memandu secara cuai yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, enam tahun lalu.

Perbicaraan ke atas tertuduh, Rizuwandi Che Hassan, 37, berlangsung selama tujuh bulan, melibatkan enam saksi yang dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Majistret Kamarul Hasyimie Rosli ketika membaca keputusan itu berkata, pihak pendakwaan gagal mengasaskan prima facie terhadap kes berkenaan dan berpuas hati dengan hujahan dikemukakan peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan.

Penghakiman dibuat selepas mengambil kira keadaan lampu motosikal, kelajuan dan tindakan berhenti oleh mangsa, serta tindakan tertuduh yang memberikan isyarat membelok sebelum berlaku kemalangan.

Dalam kejadian 16 Mac 2015 itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal tidak memasang lampu dan datang dari arah bertentangan, sebelum melanggar sisi lori dipandu Rizuwandi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, apabila tertuduh yang memandu sebuah lori yang hendak membelok masuk ke lorong sebelah kanan.

Rizuwandi dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa dan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 23 September 2019.

Dalam pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara wajib sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Namun, tertuduh yang hadir bersama isteri dan peguamnya, Nik Saiful pagi ini, bersyukur kerana tidak disabitkan dengan kesalahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast