Pasukan keselamat siap sedia melakukan kawalan di Tanah Putih berikutan PKPD mulai hari ini.

KUANTAN – Pelaksanaan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tanah Putih, dekat sini telah bermula jam 12.01 pagi tadi sehingga 18 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pasukannya sudah bersiap siaga untuk mengadakan kawalan operasi 24 jam.

Kawalan itu melibatkan 30 anggota bertugas termasuk lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masing-masing enam anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukaralewan Jabatan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Taman Tanah Putih Baru selepas 11 kes positif Covid-19 dikesan dan menanti sebanyak 29 sampel ujian saringan.

Mohamad Noor berkata, batu halangan konkrit dan kawat duri dipasangkan di empat laluan utama bagi mengelakkan pergerakan individu melepasi Kawasan.

”Jumlah komuniti di Tanah Putih ini seramai 3,900 penduduk dan sebanyak 788 buah rumah terlibat dalam kawasan PKPD ini.

”Walau bagaimanapun, aktiviti ekonomi seperti kedai runcit dan kedai makan dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa pemantauan PKPD di Tanah Putih.

Dalam pada itu, katanya, polis Kuantan akan giat melakukan pemeriksaan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi daerah Kuantan.

Selain itu, pihaknya juga akan mencadangkan larangan membawa bayi dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke bazar Aidilfitri susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah ini.

”Cadangan melarang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun akan dipertimbangkan jika perlu,” ujarnya.

Sementara itu, tambahnya, cuti semua pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan telah dibekukan susulan trend peningkatan kes Covid-19 di daerah ini.

“Seramai 75 pegawai kanan polis dan 1,077 anggota pangkat rendah (PRP) akan bertugas berikutan arahan dari Bukit Aman.

“Namun, pihak kita akan mempertimbangkan cuti sekiranya berlaku kes-kes kecemasan membabitkan pegawai dan anggota mengikut budi bicara.”– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast