KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu mengulangi kesilapan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh untuk sesi 3.0 ini, bagi mengelak ekonomi negara lumpuh.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika kerajaan melaksanakan PKP penuh sekali pun, tetapi rakyat tidak mematuhi SOP, ia tidak akan berjaya.
Justeru, katanya, beliau bersama barisan Menteri Kabinet berbincang dan memikirkan kaedah yang lebih berkesan bagi mengatasi dua situasi ialah mengekang penularan Covid-19 dan menstabilkan ekonomi negara.
“Kita berdepan dengan peristiwa baharu yang tidak pernah alami iaitu serangan virus ghaib yang dinamakan Covid-19. Ia menyerang seluruh dunia dan Malaysia terkesan dengan wabak ini.
“Namun, kita lihat trend mutakhir ini menyaksikan beratus juta rakyat di seluruh dunia dijangkiti virus ini dengan tiga hingga empat juta terkorban. Ini satu ancaman besar kepada nyawa dan kehidupan kita.
“Oleh itu, kita ambil agenda ini sebagai penting dan dalam situasi yang agak mencabar, kita harus uruskannya sebaik mungkin agar tidak ada nyawa rakyat kita terkorban hanya disebabkan kecuaian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1 dan Astro 502 dan Bernama TV, malam ini.
Muhyiddin berkata, negara ini berdepan dengan tiga siri PKP iaitu PKP 1.0 yang melumpuhkan terus ekonomi negara, sehingga kerajaan terpaksa melonggarkan SOP PKP 2.0 dan PKP 3.0 dengan membenarkan sektor ekonomi beroperasi bagi memastikan rakyat terutama peniaga kecil tidak kehilangan punca pendapatan.
Beliau memberitahu, ketika PKP 1.0 tahun lalu, kerajaan kehilangan kira-kira RM24 bilion sehari, apabila rakyat tidak dapat berniaga dan memberi kerugian cukup besar kepada negara.
“Secara peribadi, pada PKP 1.0 menutup sektor ekonomi adalah yang terbaik kita fikirkan. Kita tutup semua sektor, kita minta rakyat duduk diam-diam di rumah agar menjaminkan keselamatan.
“Selain itu, ia antara kaedah yang kita fikir terbaik bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengurus apa yang perlu. Ini kita lakukan ketika kita tidak ada pengalaman.
“Kesannya, ia memberi impak amat besar kepada ekonomi. Kita kerugian RM24 bilion sehari sehingga pada PKP 2.0 kita longgarkan SOP,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang PKP itu, pelbagai bantuan kerajaan sediakan untuk membantu rakyat dalam pelbagai kategori supaya mereka dapat meneruskan kehidupan.
Katanya, kerajaan membelanjakan RM340 bilion dengan menggunakan 20 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk berbelanja kepada rakyat.
“Semua rakyat dibantu oleh kerajaan, kalau kita nak buat lagi dengan mengetatkan SOP PKP 3.0, di mana kerajaan nak mendapatkan RM340 bilion? Mungkin kali ini saya kena sediakan RM0.5 trilion. Adakah duit kita sebanyak itu?
“Kita boleh tutup semua sektor termasuk ekonomi, tetapi kalau kita buka balik, sistem kita sudah runtuh. Saya tak mahu lihat rakyat saya terkorban kerana kelalaian saya.
“Disebabkan situasi yang tidak menentu ini, sebab itu kita kenakan sekatan. Tidak ada siapa pun suka disekat kehidupan mereka, tetapi itulah Langkah yang kita terpaksa ambil kerana nak jaga nyawa,” ujarnya.
Mengenai SOP yang dianggap rakyat sebagai mengelirukan, Muhyiddin menjelaskan, ia dilihat keliru oleh rakyat kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan menerusi KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah berdasarkan situasi wabak itu.
Kata beliau, kerana situasi agak tidak menentu, maka kerajaan terpaksa mengetatkan SOP bagi PKP 3.0, tetapi pada masa sama tidak boleh menutup sektor ekonomi. – MalaysiaGazette
















