KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) telah mengenalpasti dalang sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang mengakibatkan negara kehilangan hasil sehingga RM6 bilion.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini sedang mengumpul data dan maklumat sindiket itu.
Katanya, daripada maklumat yang diperolehi, pihaknya akan melakukan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain untuk melumpuhkan sindiket terbabit.
“Kawasan utama kegiatan kontraban ini adalah aktif di Pantai Barat Semenanjung yang mana kawasan ini mempunyai pantai yang landai (mendatar) memudahkan mereka berlabuh bagi kegiatan jenayah mereka,” katanya pada sidang di Bukit Aman, hari ini.
Tambah beliau, PPM mendapati sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras mengubah modus operandi dengan menggunakan kapal kargo atau kapal tangki yang telah diubah suai sebelum memngguhkan barangan ke bot di perairan antarabangsa.
Perubahan modus operandi itu dilakukan selepas kerajaan mengehadkan pemindahan rokok di pelabuhan khusus selain mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport, ujarnya.
“Kalau lihat di Pantai Timur dari Kuantan sehingga Kota Tinggi, Pengerang adalah kawasan landai memudahkan kenderaan mendarat di situ walaupun dalam keadaan air pasang selain mereka juga menggunakan laluan perairan laut dari Batam, Indonesia untuk masuk ke utara semenanjung Malaysia.
“Kadang-kadang mereka sampai Perak dan ada juga sehingga ke Langkawi dan PPM akan terus mengesan kumpulan sindiket ini walaupun tidak mempunyai bot berteknologi canggih sebaliknya menggunakan kaedah konvensional untuk melumpuhkan mereka,” katanya.
Menyentuh tentang keupayaan PPM, Mohd Yusoff berkata, pihaknya mempunyai 190 bot untuk melakukan operasi pemantauan dan menangani isu penyeludupan di perairan negara sepanjang 2,000 kilometer. – MalaysiaGazette
















