PETALING JAYA – Meskipun memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak mengandungi pelan antirasuah, ia tidak bermakna parti pembangkang akan berhenti memperjuangkannya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tadbir urus yang baik menjadi antara kandungan persefahaman baru-baru ini hanya akan terhasil sekiranya kerajaan bebas daripada unsur rasuah.

“Kalau diteliti, MoU itu yang ditekankan adalah tata kelola yang baik. Itu tidak mungkin berlaku kalau rasuah menular. Keduanya disebut juga kebebasan badan kehakiman yang ditekankan dalam salah satu peruntukan MoU.

“Membanteras (rasuah) itu salah satu tonggak pendirian kami PKR dan PH ini di antara jadi asas tidak boleh dikompromi,” katanya ketika sidang media.

Ujarnya, perjuangan menentang rasuah dalam kalangan PH tidak akan terikat dan terhad selepas termeterainya MoU bersama kerajaan baru-baru ini.

“Perjuangan ini tidak terikat dengan MoU, ucapan saya, rakan-rakan lain PH di Parlimen selepas MoU ditandatangani jelas, tentang kerosakan yang berlaku akibat rasuah,” tambah Pengerusi PH itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya, mengapa pelan antirasuah tidak dimasukkan di dalam kandungan MoU baru-baru ini.

Dalam sidang media hari ini, Presiden PKR itu turut mengumumkan aktivis muda, Adam Adli Abd Halim antara 20 golongan belia yang menyertai parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast