Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sehingga semalam, sebanyak 517,107 kanak-kanak dalam kalangan usia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka bagi menerima vaksin Pfizer Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan dalam Twitternya hari ini, Khairy Jamaluddin, angka tersebut merangkumi 15 peratus dari jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

“Saya sangat berharap hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia akan mendapatkan suntikan vaksin menjelang akhir bulan ini.

“Ini satu permulaan yang baik dan KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) akan terus menyampaikan maklumat mengenai faedah mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 untuk kanak-kanak di bawah pengawasan timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras bersama-sama Kementerian Pendidikan.

Pautan bagi tempahan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) dimuat naik berdasarkan tarikh pendaftaran dan ibu bapa yang tidak menerima pautan akan mendapatkannya tidak lama lagi.

Khairy juga memuat naik info grafik mengenai pendaftaran PICKids yang menunjukkan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi dengan 131,500 kanak-kanak mendaftar, manakala Labuan mencatatkan pendaftaran terendah dengan 900 kanak-kanak.

Untuk makluman, empat juta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast