Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 135,478 atau 3.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,174,229 atau 56 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 bagi tempoh sama.

Sejumlah 22,936,160 individu atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,186 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,795,278 individu atau 89.8 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,873,770 atau 92.3 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 142,800 dos vaksin diberikan meliputi 38,851 dos pertama, 727 dos kedua dan 103,222 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 64,921,735 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 15 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Perak dan Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu masing-masing empat kes, diikuti Kelantan dan Terengganu masing-masing dua kes, manakala satu kes masing-masing direkodkan di Kedah, Melaka dan Sabah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast