Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

JOHOR BAHRU – Datuk Dr Sahruddin Jamal dipercayai akan membuat ‘comeback’ selepas nama beliau hampir pasti diumumkan sebagai calon Menteri Besar Johor oleh Perikatan Nasional (PN).

Daripada pelbagai sumber, MalaysiaGazette difahamkan setakat ini hanya nama Sahruddin yang dipilih oleh gabungan parti itu untuk menerajui Johor jika PN diberi mandat oleh 2.59 juta pengundi Johor pada 12 Mac ini.

Menurut sumber-sumber, pengumuman calon Menteri Besar Johor itu akan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac 2022, sehari sebelum hari pengundian pilihan raya negeri berlangsung.

“Setakat ini memang nama Sahruddin yang berada pada senarai teratas PN.

“Calon MB Johor PN ini bukan rahsia lagi kerana memang nama Sahruddin disebut-sebut, cuma pengumuman sahaja belum dibuat bagi menoktahkan spekulasi politik,” menurut sumber.

Kata mereka, Sahruddin dipilih kerana PN mengambil kira kedudukannya sebagai pemimpin ‘senior‘ PN di Johor dan paling dikenali, selain imejnya yang lebih menonjol berbanding calon-calon yang mewakili gabungan itu.

PN turut mengambil kira pengalaman Sahruddin sebagai bekas Menteri Besar Johor ke-17.

“Meskipun Sahruddin pernah menjadi menteri besar tetapi PN berpandangan kesempatannya begitu singkat, oleh itu Sahruddin perlu diberi peluang sekali lagi,” ujar sumber kepada MalaysiaGazette.

Sahruddin, 47, pernah mengangkat sumpah memegang jawatan itu pada 14 April 2019 bagi menggantikan Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Beliau kemudian digantikan oleh Datuk Ir. Hasni Mohammad pada 28 Februari 2020.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Sahruddin bertanding di Dewan Undangan Bukit Kepong.

Sahruddin yang juga penyandang kerusi itu dicabar tiga calon daripada Barisan Nasional (BN) yang menampilkan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Dua calon lain mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Md Taib Md Suhut dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 lalu, Sahruddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor memenangi DUN Bukit Kepong atas tiket Pakatan Harapan (PH), mengalahkan calon BN, Mohd Noor Taib dan Pas, Muhamad Nur Iqbal Abd Razak.

Sahruddin menang dengan meraih undi sebanyak 11,665 berbanding Mohd Noor (10,392) dan Muhamad Nur Iqbal (1,761). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast