petrol station fuel supply shortage
Kerajaan memperuntuk lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap pembelian petrol yang  luar biasa pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyebabkan beberapa stesen minyak terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan bekalan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sebelum ini permintaan petrol pada hari perayaan hanya sekitar 20 hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

Bagaimanapun menurut Khairul Annuar, pada sambutan hari raya tahun ini pembelian petrol meningkat kepada 40 peratus.

Jelas Khairul Annuar, peningkatan permintaan itu disebabkan pengguna sudah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Mereka mengambil kesempatan untuk meraikan Aidilfitri dengan penuh semangat tahun ini dengan beraya di rumah saudara mara yang turut melibatkan penggunaan kenderaan dan petrol.

Jumlah pembelian bahan bakar yang luar biasa juga disebabkan faktor pengguna mempunyai wang untuk berbelanja berikutan kebenaran untuk mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Khairul Annuar Abdul Aziz

“Secara umum tahun ini jualan petrol terlampau tinggi. Untuk menambah bekalan melalui lori tangki sampai tak sempat.

“Awak bayangkanlah semua orang nak balik balik raya. Semua orang dapat duit KWSP. Duit ada nak balik raya ramai-ramai. Memang semua stesen terlampau tinggi jualan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau memberi reaksi terhadap beberapa aduan bahawa terdapat stesen minyak yang terpaksa ditutup kerana kehabisan bekalan petrol.

Tambah Kharul Annuar, situasi yang dihadapi tersebut hanyalah sementara kerana negara tidak berhadapan dengan masalah bekalan bahan bakar tersebut.

“Masalahnya ialah permintaan. Bila permintaan meningkat dengan melampau seperti ini, awak bayangkan dari depoh nak hantar ke stesen pakai lori tangki. Jumlah lori sama, bila permintaan terlampau tinggi memang ada ketinggalan sedikit tapi tak ada isu besar.

“Tapi kalau tutup pun kejap sahajalah. Paling lama satu hari sahaja.

“Kalau yang lama kemungkinan habis kuota. Bila habis kuota untuk satu bulan, dia kena tunggu bulan depan. Tapi sekarang ini awal bulan kemungkin bukan kerana habis kuota,” jelas Khairul Annuar.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak lima juta kenderaan dijangka berada di lebuh raya seluruh negara untuk pulang ke kampung bagi sambutan perayaan Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, trend peningkatan itu dikesan terutama di Lembah Klang disebabkan pergerakan orang ramai untuk persiapan raya.

Sementara pada Mac lalu kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima KWSP sejak dibuka pada 1 April yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast