KUALA LUMPUR – Selain Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan juga membangkitkan persoalan kenapa kenapa ahli Parlimen lompat parti terlepas dari siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Namun, katanya, perkara yang berkaitan dengan ‘tiada siasatan’ itu tidak pelik kerana ia juga berlaku di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
Katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu dilantik dalam kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sudah tentu tidak akan menyiasat, apatah lagi mendakwa ahli Parlimen lompat parti yang menyokong mereka.
“Persoalan sama kami sering ajukan, kenapa ahli Parlimen lompat parti terlepas siasatan SPRM selepas PRU-14 dulu. Tetapi, tak pelik ketika zaman PH bila Ketua SPRM adalah pemimpin tertinggi PKR.
“Sudah tentu tak akan siasat dan dakwa ahli Parlimen lompat yang menyokong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Guan Eng yang menuduh SPRM mengamalkan dwistandard dalam mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima rasuah dan tidak bertindak terhadap bekas rakan partinya yang melompat ke Bersatu.
Ahli Parlimen Bagan itu dilaporkan berkata, SPRM hanya meneliti kes tiga bekas pemimpin UMNO itu selepas Ahmad Zahid mendedahkan mereka di mahkamah semasa membela diri.
Guan Eng berkata, ketiga-tiganya yang melompat ke Bersatu selepas PRU-14 kini menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan.
Mengulas lanjut, Zahida berkata, Datuk Seri Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Lathefa Koya pada Mac 2020 tetapi belum juga ada siasatan ke atas ahli Parlimen terbabit.
“Adakah mereka kebal dari undang undang? Atau pun SPRM masih menerima tekanan daripada orang politik?” soalnya.
Ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsuddin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Noor Azmi Ghazali.
Dalam jawapan bertulis Parlimen baru-baru ini, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, SPRM sedang meneliti dakwaan terhadap tiga ahli Parlimen berkenaan.
Ia berdasarkan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana UMNO bernilai puluhan juta ringgit oleh pemimpin terbabit ketika mereka bersama parti itu menjelang PRU-14. – MalaysiaGazette
















