IPOH – Perikatan Nasional (PN) masih menamakan calon Menteri Besar Perak walaupun pengumuman kesemua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dibuat.
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, gabungan parti itu belum lagi menentukannya.
“Kita tidak bincang lagi, saya ingat, selepas sahaja selesai proses penamaan calon akan ada proses atau pengumuman-pengumuman yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi di peringkat negeri sama ada tentang Menteri Besar atau manifesto,” katanya.

Beliau berkata demikian malam tadi pada pengumuman calon PN Perak di Pejabat PN Perak.
Pecahannya pula, Bersatu akan bertanding di 26 kerusi manakala Pas dan Gerakan masing-masing di 24 dan sembilan kerusi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menamakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Perak.
Zainal Azman yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.
BN juga turut menamakan semula penyandang kerusi DUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar sekiranya parti itu menang pada PRU15. -MalaysiaGazette
















