MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong menggariskan 15 Aku Janji Manifesto bagi keselesaan dan kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang berkata, ia merangkumi tiga teras utama berkaitan hala tuju infrastruktur, ekonomi dan pembangunan.
Menurutnya, di bawah teras infrastruktur, beliau akan memperkasakan rancangan tebatan banjir (RTB) tempatan termasuk menaik taraf sistem perparitan, kolam takungan air sebagai usaha menangani isu banjir.
“Selain itu, saya juga komited untuk memperluaskan liputan jalur lebar 5G terutamanya di kawasan luar bandar, menambah baik sistem pengangkutan dan penyuraian trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering diadukan komuniti di jawasan tumpuan pelancong ini khususnya Klebang dan Pantai Puteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Parlimen Tangga Batu di Klebang di sini hari ini.
Tambahnya, antara langkah penyelesaian jangka panjang bagi memastikan sistem penyuraian trafik yang sempurna, terdapat beberapa kawasan sudah dikenal pasti untuk pembinaan jejambat bertingkat.
“Antara kawasan terlibat adalah di persimpangan Tesco Cheng, Paya Rumput dan Taman Cheng Perdana yang sering berlaku kesesakan pada waktu puncak dan cuti umum.
“Saya fikir, cadangan ini perlu mendapat perhatian di peringkat kerajaan Persekutuan sekiranya saya diberi mandat oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu,” katanya.
Tambahnya, turut diberi perhatian adalah menambah baik fasiliti dan infrastruktur untuk komuniti nelayan termasuk jeti nelayan Klebang Besar dan Sungai Lereh serta pembinaan penempatan baru pengkalan nelayan Pantai Puteri agar mempunyai kemudahan yang lebih baik dan moden.
Manakala di bawah teras ekonomi rakyat pula jelas beliau, antara lima isu utama termasuk membina jenama dan produk ‘Tangga Batu’ dengan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat tempatan terutamanya golongan muda dan wanita.
Turut diberi perhatian adalah bagi memperkasakan pembangunan Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) serta pembangunan kawasan perindustrian tempatan terutamanya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi merancakkan pembangunan ekonomi.
“Kebajikan dan kesejahteraan komuniti anggota tentera dan pesara tentera yang merangkumi prasarana dan pendidikan anak-anak tentera juga tidak akan dipinggirkan.
“Isu utama lain termasuklah menyelenggara tempat pelupusan sampah Sungai Udang serta mempercepatkan pembinaan insinerator pelupusan sampah dan memperbanyakkan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik,” katanya. – MalaysiaGazette.















