Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memohon maaf di atas teguran yang mungkin menyinggung perasaan Premier Sarawak dan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Permohonan maaf oleh Guan Eng itu dilakukan selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke melakukan perkara sama kepada kerajaan Sarawak dan rakyat negeri itu.

Menurut Guan Eng, masa depan negara adalah lebih penting.

“Marilah kita membuat permulaan baharu untuk bekerjasama bagi memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya.

“Serta melindungi Perlembagaan Persekutuan untuk manfaat semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Ahli Parlimen Bagan itu menerusi hantaran di Facebook beliau, sebentar tadi.

Terdahulu, Loke menyatakan, DAP memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan Sarawak dan rakyat negeri itu sekiranya ada pemimpin parti tersebut pernah mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan.

Permohonan maaf dibuat Loke selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman beliau di Kuching hari ini.

Turut serta pada kunjungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Prof. Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Loke turut berharap pertemuan tersebut akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju dan progresif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast