KUALA LUMPUR – Peluang perniagaan dan layanan setara kepada semua lapisan masyarakat, itu antara tuntutan dan harapan rakyat Malaysia mahukan daripada Kerajaan Perpaduan pada Tahun Baharu 2023, hari ini.
Peniaga kecil antara komuniti yang masih terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 sejak 2020, malah nasib mereka didakwa masih belum cukup terbela.
Menurut Muhammad Asmawirlam Abdullah, 38, dia meletakkan harapan tinggi kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas, apatah lagi negara bakal berdepan dengan kegawatan ekonomi pada tahun ini.
“Kita mahu kerajaan betul-betul ambil perhatian, saya berharap tahun ini nampak perbezaan itu (daripada pentadbiran kerajaan lepas).
“Kita tidak mahu perkara itu (janji bantu peniaga tidak ditunaikan) berulang lagi pada masa akan datang.
“Kita nak kerajaan betul-betul ikhlas nak bantu kita,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Asmawirlam berkata, peniaga kecil sepertinya tidak mengharapkan bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya peluang dan ruang perniagaan harus diberikan tanpa bersifat ‘pilih kasih’.
“Kita tidak harapkan kerajaan bagi duit banyak kepada kita, kita harapkan kerajaan membantu memberikan kita tempat sesuai mencari rezeki,” katanya.
Dia yang kini sudah berkeluarga dan mempunyai enam cahaya mata akui terpaksa bergelut mencari pendapatan tambahan bukan sahaja sebagai peniaga kecil bahkan sebagai penghantar makanan dan barang.
“Kita tak kisah susah sikit asalkan kita rajin, kita berniaga akan keluar siang, pagi-pagi lepas Subuh, malam baru kita balik.
“Jenguk anak pun tak lama, sama seperti orang lain yang bergelut mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, Irwan Mustafa, 47, pula berharap Kerajaan Perpaduan hari ini dapat menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas kepada anak-anak dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) yang masih tercicir.
“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat membantu anak-anak kami yang masih lagi supaya diberikan pendidikan dengan cara yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.
Bagi Akif Alia, 32, dia berharap rakyat dapat memberi peluang kepada pentadbiran kerajaan pada hari ini untuk memulihkan kelembapan ekonomi yang menjejaskan pendapatan rakyat Malaysia.
“Kerajaan hari ini kita dengar macam-macam, kita tak boleh beri andaian yang lebih, benda pun masih baru lagi.
“Kita ikutlah dia punya jalan, bagi peluang dulu, esok lusa kalau kita nampak makin teruk, kita ubah lah,” katanya.
Menurutnya lagi, lambakan pekerja dalam industri gig khususnya penghantaran makanan turut terjejas apabila permintaan semakin berkurangan.
“Permintaan kurang (job), jumlah pekerja ramai, jadi ramai berebut untuk bersaing mendapatkan job penghantaran makanan.
“Saya sebagai penghantar makanan, saya sendiri terpaksa buat dua tiga kerja, dalam satu masa saya terpaksa on grab, food panda.
“Waktu PKP jadi rider kurang saingan, ketika itu setengah hari boleh capai sasaran kita, kalau sekarang sampai petang pun belum tentu capai sasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















