Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menuntut tambahan sembilan peratus untuk peruntukan perbelanjaan dari kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan Persekutuan akan datang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan menyalurkan satu peratus dari Belanjawan Persekutuan kepada Selangor berbanding lebih RM250 bilion hasil diberikan kerajaan negeri kepada pusat.

Katanya, untuk perbelanjaan pembangunan di Selangor sepanjang 2018, beliau berharap kerajaan Persekutuan menyalurkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hasil yang disumbangkan kepada kerajaan pusat.

“Jumlah 10 peratus itu sangat relevan memandangkan sumbangan Selangor dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Tambahan pula, kita memberi hasil kepada kerajaan Persekutuan lebih kurang RM250 bilion, tetapi pulangan yang diterima Selangor sangat kecil.

“Ia tidak seimbang langsung dengan apa yang diberikan Selangor. Saya tahu tidak perlu bagi saya untuk meminta terlalu lebih kerana keperluan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri lain,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, di Pangsapuri PKNS Seksyen 7, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Selangor kekal mendahului pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan perolehan peratusan melebihi 20 peratus jauh meninggalkan negeri-negeri lain.

Kejayaan itu, kata beliau, didorong oleh hasil komitmen dan gerak kerja pentadbiran negeri dan peluang pelaburan luar yang semakin bertambah positif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast