Sharizal menunjukkan gambar Muhamad Haiman Fitri iaitu remaja keempat yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar, Kota Tinggi sejak kelmarin dan masih belum ditemui

KOTA TINGGI – Hasrat keluarga Muhamad Haiman Fitri Supian,16, untuk mengadakan kenduri kesyukuran esok sempena berpindah ke rumah baharu bertukar kepada kenduri tahlil.

Sharizal Ibrahim iaitu bapa saudara kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Easter itu berkata, keluarganya baru berpindah ke rumah generasi kedua di Felda Bukit Waha pada Sabtu lalu.

Walaupun begitu katanya, keluarga Muhamad Haiman Fitri akan tetap meneruskan majlis kenduri berkenaan kerana persiapan sudah pun dibuat.

“Allahyarham baru sahaja dua atau tiga hari masuk rumah baharu berkenaan,” katanya ketika ditemui di pos kawalan Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini hari ini.

Terdahulu portal ini melaporkan, enam remaja berusia 16 tahun dikhuatiri lemas di pantai berkenaan namun dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejurus kejadian berjaya menemui mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, pukul 1.15 petang pada jarak 500 meter dari lokasi kejadian.

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga akan tertumpu kepada mengesan seorang lagi mangsa, Muhammad Haiman Fitri Supian

Laungan azan di tengah laut daripada guru dan tujuh pelajar tahfiz pula membawa kepada penemuan jasad kedua, Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, yang dijumpai terapung pukul 1.53 petang semalam oleh nelayan kira-kira 800 meter, dari lokasi mangsa pertama dijumpai.

Sementara operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini berjaya menemui seorang lagi, mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal pukul 11.15 pagi kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Bercerita lanjut, Sharizal turut bersama-sama meronda sekitar pantai malah sudah bermalam di situ sejak hari pertama.

“Saya bersama-sama adik ada meronda-ronda setiap masa untuk mencarinya dan hanya dapat tidur dua ke tiga jam sahaja.

“Ibunya sedang menjaga ayah Haiman yang sudah tiga tahun mengalami strok jadi tidak datang ke pantai.

“Baliklah Man, pak uda dan ahli keluarga setia menunggu. Kami juga reda dengan ujian ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here