KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion kepada Sabah serta Sarawak menerusi Belanjawan 2023 membolehkan projek pembangunan sedia ada di kedua-dua negeri itu dapat diteruskan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan yang diberikan sudah pasti dapat melancarkan projek pembangunan sekaligus pengumuman kepada pertambahan projek baharu di luar bandar.
“Untuk Sabah dan Sarawak nampaknya Belanjawan 2023 yang dibentangkan dilihat membanggakan kerana kewangan (peruntukan diberikan) untuk menguruskan projek-projek sedia ada dan sedang dilaksanakan.
“Peruntukan pembangunan ini akan membolehkan setiap kementerian melaksanakan projek itu dengan lancar termasuk pertambahan projek-projek pembangunan baharu di luar bandar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit ketika ditemui di Lobi Parlimen hari ini.
Nanta Linggi turut menyifatkan peruntukan RM2.5 bilion bagi kerja-kerja pembaikan klinik dan sekolah daif di Sabah dan Sarawak turut membuktikan komitmen kerajaan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
“Peruntukan agak besar untuk kerja-kerja pembaikan klinik dan sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak. Juga diumumkan penambahan projek pembangunan baharu iaitu membangunkan bandar-bandar di sempadan,” tambahnya. – MalaysiaGazette















