Onn Hafiz ketika mengadakan lawatan di salah sebuah PPS dekat Machap hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hariz hari ini menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan segera untuk menambah kelengkapan di pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kelulusan RM50 juta itu bagi memastikan semua kelengkapan terutama di PPS mencukupi berikutan angka penduduk terjejas semakin meningkat.

“Terima kasih juga kerana mempertimbangkan peruntukan segera RM7.6 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Kota Emas dan bandar Kota Tinggi sebagai langkah jangka masa pendek untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

“Timbalan Perdana Menteri juga bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan kerajaan negeri untuk langkah jangka masa panjang seperti mendalam dan melebarkan Sungai Lalang serta cadangan menaik taraf jalan Kota Tinggi-Mersing,” kata beliau.

Onn Hariz berkata demikian ketika melakukan tinjauan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)dekat Machap hari ini.

Beliau turut meminta semua rakyat Johor yang terkesan agar terus bertabah.

“Sebak saya apabila seorang pakcik yang merupakan sebahagian daripada mangsa banjir menangis sewaktu saya menyampaikan sedikit bantuan kepadanya.

“Saya minta semua yang terkesan agar terus cekal, sabar dan tabah menghadapi ujian yang cukup besar ini.

“Bantuan seperti bekalan makanan, serta barang keperluan yang lain termasuk khemah, peralatan kebersihan diri, tikar, bantal dan selimut berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Kerajaan Negeri, dengan kerjasama agensi persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Namun saya berharap agar segala bantuan ini disalurkan melalui penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, agar pengagihan dapat dilakukan dengan sempurna.

Keadaan banjir di Johor dilaporkan semakin buruk setakat pagi tadi apabila mangsa banjir terus melonjak kepada 33,149 penduduk dengan semua 10 daerahnya kini terjejas.

Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca buruk dan hujan lebat di enam daerah – Johor Bahru, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, dan Kulai – sehingga Sabtu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast