KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan mengeksploitasi pengabdian ke atas pembantu rumah mereka warga Indonesia.
Tertuduh, kerani syarikat agensi pekerjaan Loke Chee Hui, 43, dan suaminya penyelia syarikat swasta Lum Kah Wai, 44, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi dan memohon dibicarakan.
Mengikut fakta pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan eksploitasi pengabdian ke atas seorang perempuan warga Indonesia iaitu Indrawati, 39, yang bukan kanak-kanak dengan menggunakan kekerasan.
Pasangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Brickfields, pada 3 Mac 2022 hingga 23 April lalu.
Pertuduhan dibuat ke atas mereka di bawah Seksyen 12 Akta Antipermerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah yang mencadangkan supara pasangan itu tidak ditawarkan jaminan memberitahu, pertuduhan itu merupakan kes yang tidak dijamin atau non bailable offence.
Namun, peguam pasangan itu, Varghese Onny merayu mahkamah agar dua anak guamnya itu diberikan ikat jamin dengan jumlah yang munasabah.
“Wang jaminan bukannya untuk menghukum seseorang tetapi hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke perbicaraan kes di mahkamah malah pasangan ini mempunyai empat orang anak berusia antara 15 hingga 2 tahun yang perlu disara.
“Lagipun, tiada sebarang keterangan dalam kes ini yang menunjukkan mereka mempunyai risiko untuk melarikan dan boleh menggugat mana-mana saksi keterangan dalam kes ini selain tiada bantahan jika dikenakan syarat tambahan,
“Malah tertuduh pertama (wanita) telah direman selama 12 hari iaitu reman pertama selama tujuh hari sebelum disambung reman selama 5 hari lagi membantu siasatan yang mana ia adalah satu tempoh yang lama untuk merakam keterangan bantu siasatan polis,” katanya.
Wan Ahmad Hijrah kemudian menyerahkan kepada budibicara mahkamah sekiranya mahu menawarkan jaminan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Azura Alwi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap dua bulan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, wanita sama memohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan seterika dan air panas ke atas mangsa sama pada tarikh dan tempat yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
Peguam Varghese memohon mahkamah agar membenarkan jaminan yang munasabah namun Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal membantah cadangan tersebut.
Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim membenarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Kedu-dua mahkamah menetapkan 6 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















