KUALA LUMPUR, 27 Nov -- Sebuah kumpulan Mak Yong mempersembahkan tarian rebab pada majlis pelancaran Mak Yong Ekstravaganza 2008 di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Dr Muzahet Masruridi sini malam ini. .Mak Yong merupakan kesenian tradisional negeri Kelantan yang telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia Unesco sejak 25 Nov 2005..Mak Yong Ekstravaganza 2008 bertujuan untuk mengembangkan dan memartabatkan seni pementasan berprestij itu..--fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Mak Yong Titis Sakti, sebuah naskah yang diolah kembali berdasarkan karya komedi romantis ‘A Midsummer Night’s Dream’, tulisan William Shakespeare, akan dipentaskan semula di Pentas Seni, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di sini, pada 27 Jan hingga 4 Feb ini.

Arahan Norzizi Zulkifli, pementasan kali kedua di KLPac selepas 2009 oleh The Actors Studio (TAS) Seni Teater Rakyat itu adalah sebagai persembahan pembuka tirai sambutan ulang tahun TAS ke-30 tahun depan.

“Berlatar belakangkan suasana mistik hutan yang dihuni pari-pari dan makhluk dari kayangan, Mak Yong Titis Sakti menceritakan tentang tiga jenis cinta iaitu cinta yang sempurna, cinta terlarang dan cinta yang tak berbalas,” Norzizi memberitahu Bernama di sini hari ini.

“Keasyikan ini disulami dengan dendangan muzik, tarian serta elemen komedi yang pasti akan menghiburkan penonton terutama kepada mereka yang tidak pernah mengenali Mak Yong,” katanya.

Beliau berkata pementasan semula teater itu akan menggabungkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu selain mengekalkan dialek Kelantan yang sememangnya sinonim dengan persembahan Mak Yong.

“Walaupun teater ini adalah satu persembahan tradisional, saya cuba mengetengahkan beberapa keunikan iaitu dengan menyuntik beberapa elemen pergerakan tarian baharu bersama gabungan alat muzik moden,” katanya.

Bagi menjayakan persembahan itu, beliau turut mendapat sokongan kuat daripada kesemua anggota teater tersebut iaitu terdiri daripada pereka tari Zamzuriah Zahari, pengarah muzik Kamarul Bahri Hussin, pereka set Bayu Utomo Radjikin dan Pereka Kostum Nur Afifi Mohamed Taib.

Barisan pelakon asal Mak Yong Titis Sakti yang bakal beraksi termasuklah Zamzuriah, Asrulfaizal Kamaruzaman, Rosdeen Suboh, Shahanaros Shahruddin, Elza Irdalynna, Mohd Kamarulzaman Taib dan Siti Farrah Abdullah.

Norzizi berkata, beberapa pelakon baharu turut menjayakan teater itu termasuk pelakon Mardiana Alwi, Ezdianie Hayatie Omar, Safia Hanifah, Putri Hanan Shahidah serta lima penari dan 12 pemuzik dan vokalis.

“Teater berdurasi dua jam ini sesuai untuk tontonan semua kaum dan pelbagai generasi dan saya yakin mereka akan menikmati persembahan ini,” katanya.

Mak Yong Titis Sakti yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan dari luar negara termasuk menjadi satu-satunya karya dari Malaysia yang tersenarai dalam himpunan arkib Shakespeare dikenali dengan nama Asian Shakespeare Intercultural Archive (ASIA) yang berpusat di Singapura.

Karya itu juga telah mendapat perhatian di Universiti Nasional Singapura apabila menjadi sebahagian silibus kuliah Intercultural Theatre di universiti itu, serta banyak diperbincangkan dalam penerbitan jurnal akademik Routledge Teater Asia.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket persembahan teater ini pada harga RM40, RM60 dan RM80 dengan menghubungi KLPac di talian 03-40479000, tiketpro (03-788-7999) atau layari laman sesawang www.klpac.org untuk maklumat lanjut.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast