Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Razak bukan semata-mata dikaitkan dengan ‘penyokong’ bekas perdana menteri itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, isu pengampunan berkenaan berkaitan dengan ketelusan pihak kerajaan.

Beliau mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kononnya desakan pengampunan diraja terhadap Najib sebagai ‘serangan’ terhadap badan kehakiman.

“Jadi Khairy dan kawan-kawan cuba membela kerajaan ini dalam podcast itu. Dia tanya di mana penutupnya? Bila nak habis tuntutan puak-puak Najib ini?

“Hoi Khairy ini bukan soal puak Najib, ini soal ketelusan kerajaan. Bila buat sesuatu keputusan kita kena ada asas.

“Penutupnya ialah bila kita diberitahu apabila pengampunan diberi kepada seseorang perlu tahu apa sebabnya. Apa pasal sulit benda ini?” soal Zaid dalam satu video yang dikongsi di media sosial.

Zaid berkata, maklumat berkaitan isu pengampunan Najib tidak seharusnya dijelaskan kepada penyokong Najib sahaja.

“Kita diberitahu oleh Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri telah menjelaskan kepada pengikut-pengikut Najib sebab pengampunan tidak dapat dilakukan.

“Apa pasal beri maklumat tersebut kepada pengikut Najib. Dia kena beri kepada seluruh rakyat Malaysialah.

“Saya bukan penyokong Najib saya penyokong ketelusan, kebenaran. Saya pun kena tahu apa pasal kerajaan tidak boleh mengampunkan Najib,” soal beliau.

Sementara itu, Zaid menggesa Khairy agar berhenti untuk terus bercakap perkara yang disifatkan sebagai mengarut.

Secara sinis beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairy akan menyebabkan rakyat hilang rasa hormat kepada beliau.

“Jadi Khairy baik kamu berhenti cakap mengarut. Kamukan hendak jadi perdana menteri. Kalau kamu cakap mengarut macam ini bagaimana orang hendak hormat kepada kamu,” katanya.

Dalam video tersebut Zaid turut menjawab sindiran sinis Khairy kononnya beliau seorang ‘pelompat profesional’.

Zaid beliau terkejut dengan tindakan Khairy kerana selama ini beliau hanya bercakap perkara baik kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

“Profesional ini bererti kalau buat apa-apa dia dapat bayaran. Khairy mungkin ingat saya tukar parti sana sini macam pelacur dapat upahan. Boleh dia cakap macam itu?

“Saya berpindah sana sini bukan bererti saya pelompat profesional. Takkan Khairy tak faham. Bukan bererti kita tidak bermaruah. Kita mencari sesuatu untuk mencapai dalam perjuangan politik,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast