Gambar hiasan.

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) perlu melakukan perubahan drastik dalam tempoh tiga tahun akan datang sekiranya mahu memperbaiki ranking dengan lapangan terbang lain di dunia.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melakukan sesuatu agar matlamat untuk mengembalikan ranking tersebut seperti 10 tahun yang lepas, tercapai, kata Menterinya, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau melahirkan kebimbangan apabila melihat ranking KLIA yang rendah pada ketika ini mungkin disebabkan hilangnya daya tarikan.

“Lapangan terbang di rantau ini semuanya berusaha naik taraf, KLIA juga mesti buat pembaikan dan tingkat imej dan prestasi.

“Beberapa projek sedang berjalan termasuk prasarana perlu ditambahbaik aerotrain, luggage handling system (sistem pengendalian bagasi), mutu perkhidmatan, ekosistem, kemudahan hotel, semua mesti seiring menjadikan KLIA hebat di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Penyedia Penginapan Transit Kapsul di Terminal 1, KLIA, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Loke tidak menafikan KLIA merupakan sebuah lapangan terbang terbaik di dunia yang mana segala kemudahan dan perkhidmatan disediakan.

“Jadi, kita sudah tentu perlu mengambil pendekatan dan strategi menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan di rantau Asia Tenggara.

“Ini memang hasrat Malaysia apabila KLIA dibuka tetapi, memang dari segi persaingan dengan Changi kita agak ketinggalan,” ujarnya.

Tambah beliau, tidak ada yang mustahil boleh dibuat di KLIA, malah, beliau percaya lapangan terbang itu mampu bersaing dengan Changi.

“Memang Changi ada kelebihannya tetapi, kita jangan bersifat mengalah bahawa kita tak boleh bersaing dengan negara luar terutamanya dengan Changi.

“Saya mencabar MAHB supaya melihat Changi sebagai satu pesaing. Kita mesti berusaha untuk menandingi kedudukan mereka dan sebenarnya tiada apa yang kita tak boleh buat untuk menandingi Changi.

“Dari segi tanah, sumber, semua kita ada. Jadi, apa yang tak boleh kita saingi? Yang penting adalah semangat ke arah lebih cemerlang. MAHB mesti berusaha bersungguh-sungguh,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast