Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menghalang tugas pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, walaupun difahamkan King Sing mempunyai pas khas untuk memasuki Terminal 1 KLIA, beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/1963.

“Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pegawai awam perlu dibenarkan menjalankan tugas sah mereka tanpa gangguan dan tekanan daripada mana-mana orang, apatah lagi jika ia membabitkan hal ehwal keselamatan dan kedaulatan negara.

“Insiden seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita menghormati tugas penjawat awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang menteri didakwa cuba melepaskan seorang pelawat China yang ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu kejadian di Balai Ketibaan KLIA.

Jumaat lalu, King Sing mengakui bahawa beliau adalah menteri yang dimaksudkan namun Ahli Parlimen Bintulu itu menafikan bertindak seperti yang dilaporkan oleh portal tersebut.

Ronald menambah, amaran tegas perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa.

Beliau memberitahu, penjawat awam hanya menjalankan tugas mengikut bidang tugas dan fungsi mereka dan tidak sewajarnya mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Minta menteri tersebut pergi ke UK atau Vietnam tanpa return ticket? Tanpa banyak soal dah lama pegawai immigresen disana tendang mereka kelaut?

    Harap PM dapat singkirkan menteri tersebut dengan segera!!!

Comments are closed.