aminuddin anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2023.

SEREMBAN – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka mengetengahkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar Negeri sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan dibincangkan bersama parti-parti komponen.

“Kita boleh bincang lebih awal (sebelum PRN). Pada masa sekarang kemungkinan besar beliau jadi ‘poster boy’ sebab beliau Menteri Besar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.

Aminuddin Harun berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2023.

Anwar menambah, secara keseluruhan prestasi Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan adalah sangat memuaskan.

Beliau mengakui gembira dengan prestasi Aminuddin yang telah menjalankan tugas dengan baik dari segi tadbir urus dan pelaksanaan projek serta kejayaan menarik pelaburan.

“Negeri Sembilan lokasi penting di luar Lembah Klang, dekat dengan lapangan terbang, potensinya sangat besar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara PH dan BN di peringkat kepimpinan tertinggi telah selesai.

“Peringkat saya bincang dengan Anthony Loke dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi nampak selesai tetapi kita masih beri ruang untuk perbincangan di peringkat negeri sedikit lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pengumuman mengenai peratusan kerusi yang ditandingi oleh PH dan BN akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. MUNGKIN “sahaja” AMINUDDIN sambung jadi MB N9 itu ANWAR IBRAHIM kata.. Hoi Hoi Yahoi ZAHID HAMIDI kata BN nak ambil N9.. Rakyat N9 faham ke mana yang PERINTAH N9 nanti? rakyat jadi pening dibuat kerajaan MADANON..
    nak tanya DAP PKR UMNO kalah PRN N9 yang paling takut siapa? adakah rakyat ATAU individual bernama AHMAD ZAHID HAMIDI? semuga Rakyat N9 MERDEKA berganda di bulan OGOS ini…

Comments are closed.