KUALA LUMPUR – Anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri Kabinet yang terbukti menipu dalam pengisytiharan harta mesti meletakkan jawatan atau bersara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu perlu diambil sekiranya mereka dibuktikan memperoleh harta tersebut secara haram.
Beliau berpandangan, langkah tersebut dapat memastikan keberkesanan format baharu pengisytiharan harta untuk anggota pentadbiran kerajaan.
“Tindakan serius perlu diambil ke atas mereka yang tidak dapat membuat penjelasan telus terhadap aset berlebihan dan gaya hidup yang terlampau mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri Kabinet akan mengisytiharkan harta mereka sebaik sahaja format baharu ditambah baik.
Jais turut mencadangkan supaya pengisytiharan harta dikemas kini secara tahunan oleh menteri dan pegawai-pegawai Kabinet.
“Selain itu, aset yang dinyatakan perlu diaudit dengan melibatkan pihak bebas.
“Penambahbaikan ini perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan dan integriti proses tersebut bernilai tinggi,” jelasnya.
Selain itu, Jais menyarankan agar unit pengisytiharan harta yang bebas ditubuhkan dan ia tidak diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Unit ini harus mempunyai kuasa dan sumber yang mencukupi untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap aset yang diisytiharkan oleh anggota Kabinet tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















