PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula pada 23 September ini manakala 3 Oktober depan ditetapkan sebagai undi awal.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 23 September 2023 sehingga pukul 11.59 malam, 6 Oktober 2023.
“PRK Pelangai melibatkan kos RM2.1 juta dan sejumlah 16,456 pemilih terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Pelangai, di sini hari ini.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.
Beliau bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad. – MalaysiaGazette
















