Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengkritik Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony dibidas.

Ketua Penerangan Parti KDM, Dr Oswald Aisat Igau berkata, Pandikar Amin tidak ubah seperti ‘cacing kepanasan.’

Dr Oswald Aisat Igau.

Menurutnya, kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat yang tersebar dalam satu video semalam telah lari daripada topik utama yang disuarakan Peter sebelum ini.

Ini kerana tiada satu pun yang dijawab berhubung kritikan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, apa yang dijawab pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu hanyalah bersifat menghentam Peter dan KDM secara peribadi bukan menjawab mengenai kegagalan beliau bersuara mengenai masalah negeri ini ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan dahulu.

”Pandikar sepatutnya amati kenyataan Peter, beliau (Pandikar) dibidas kerana menuduh Perdana Menteri hanya retorik dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di Sabah.

”Peter memberitahu Pandikar supaya memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan permasalahan di Sabah.

”Pandikar mendakwa jalan di Sabah berlubang, masalah air, masalah elektrik, Peter hanya menegur beliau kenapa baru sekarang dia bersuara sedangkan sebelum ini sudah berpuluh tahun berada dalam kerajaan dan Peter cuma tekankan beri peluang kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oswald turut menyangkal dakwaan Pandikar yang kononnya Parti KDM mempunyai wakil rakyat daripada GRS iaitu Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda.

”Perlu diingat, Wetrom bukan daripada GRS, gabungan itu hanya berdaftar pada 2022 sedangkan Wetrom sudah menjadi wakil rakyat sejak 2020.

”Beginilah kalau sudah seperti ‘cacing kepanasan’, bercakap pun main hentam sahaja, jangan pula lupa isu ‘kambing makan pasir’, beliau (Pandikar) ini jugalah yang tampil membuat kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang membongkarkan isu berkenaan ini juga kenyataan seperti ‘cacing kepanasan’

”Pandikar juga mendakwa Peter mahu menjadi ‘the next Huguon Siou’, saya tiada kapasiti untuk komen, biar orang KDM (Kadazan, Dusun, Murut) yang putuskan tetapi apa yang saya tahu Peter tidak berminat dengan gelaran bekenaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Oswald turut menyangkal kenyataan Pandikar yang mengatakan KDM belum teruji ‘kejantanannya’ dalam pentas politik.

”Mungkin Pandikar lupa, KDM telah menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Oswald tidak menafikan yang KDM pernah memohon untuk menyertai GRS beberapa tahun lalu namun hasrat itu dibatalkan kerana mereka menunggu terlalu lama.

”Kami juga akui ada menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis KDM suatu masa dulu tapi beliau hanya sebagai tetamu kehormat, Ketua Menteri dan tiada kaitan dengan KDM.

”Untuk KDM membuat gabungan dengan mana-mana parti itu terpulanglah kepada kami, tiada kena mengena dengan Pandikar mahu pun USNO.

”Tidak perlu ajar kami kerana KDM tahu halatujunya sendiri, sudah pasti untuk perubahan dan kemajuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast