Nik Nazmi Nik Ahmad meninjau Tapak Projek RTB berhampiran Kampung Chemperai, Dengkil.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM725.7 juta bagi melaksanakan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dipercayai dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan Pekan Dengkil sehingga ke Labohan Dagang.

Penyelesaian ini dapat melindungi seramai 120,000 penduduk dari impak bencana banjir dengan pelaksanaan Projek RTB Sg Langat Fasa 1 dan Projek RTB Sg Langat Fasa 2. Kedua projek ini merupakan rancangan jangka panjang Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa ini, Projek RTB Sg Langat Fasa 1 sedang di dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027. Projek RTB Sg Langat Fasa 2 pula dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

Ia merupakan projek di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT).

Bagi tindakan jangka pendek pula, kekerapan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan tersebut telah ditingkatkan oleh pihak berkaitan.

Pihak JPS berharap semua kelulusan pembangunan yang melibatkan komponen Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pemaju kerana kejadian banjir yang berlaku di Jalan Utama Taman Warisan Suria dan Persimpangan FT29/ FT32 sejak 5 November 2023 lalu adalah berpunca daripada jumlah air kelodak dari kawasan pembangunan di upstream yang banyak, menyebabkan berlaku limpahan dari Sungai Kelinsing.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad membuat lawatan di sekitar Dengkil, Daerah Sepang, hari ini.

Kawasan yang terlibat termasuk Kg Sungai Buah, Kg Jenderam Hilir, Kg Cemperai, Kg Seri Tanjung, Taman Delima, Kg Orang Asli Sg Melut, Persimpangan FT29/ FT32
dan juga kuarters Penternakan Ayamas Sdn Bhd di Jalan Utama Taman Warisan Suria.

Dianggarkan sebanyak 148 buah rumah terjejas dan seramai 395 penduduk telah dipindahkan ke pusat perpindahan sementara akibat banjir berkedalaman
0.2-0.5 meter.

Hujan lebat dengan rekod bacaan 108 milimeter yang berterusan melebihi 1 jam di kawasan Hulu Sg Semenyih dan Hulu Sungai Langat telah menyebabkan paras air
Sungai Langat meningkat sehingga 12.21m, melepasi paras bahaya 11.00m, pada jam 5.30 pagi pada hari yang sama.

Banjir bertambah buruk selepas air Sungai Parit Tampoi kawasan Kg Cemperai melimpah akibat arus air yang deras.

Projek menaiktaraf ban Sg Parit Tampoi akan disiapkan di bawah projek RTB melalui peruntukan Kerajaan Negeri Selangor bernilai RM9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Jun 2025.

Selain itu, faktor sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak diselenggara juga turut menyumbang kepada berlakunya
banjir di kawasan terbabit.

Sebagai tindakan segera bagi mengurangkan impak kepada penduduk, JPS Negeri Selangor telah menempatkan dua unit pam bergerak di Kg Seri Tanjung dan
Taman Delima bagi mengepam air keluar dari kawasan banjir.

Manakala kerja-kerja segera pembaikan ban pecah telah dilaksanakan serta merta oleh kontraktor di bawah projek RTB tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast