Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Markas Pas Taman Melewar, Gombak Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberikan kerjasama dalam meluluskan tempat dan permit untuk mengadakan Himpunan RUU 355 esok.

Timbalan Presiden parti Islam itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka mengharapkan matlamat himpunan tersebut dapat dicapai dalam memberikan penerangan berhubung salah faham melibatkan rang undang-undang yang dibawa ke Dewan Rakyat.

“Mesyuarat bulanan hari ini lebih tertumpu kepada persiapan terakhir Himpunan RUU 355 yang akan diadakan esok bermula 2 petang dan berakhir 11 malam.

“Kita ucap terima kasih DBKL yang telah membenarkan Padang Merbok sebagai lokasi himpunan dan polis kerana beri permit kebenaran untuk berhimpun.

“Kita juga ucap terima kasih semua pihak dan yakin himpunan akan capai sasaran sebagaimana kita war-warkan,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang media pada Jumaat di Markas Tarbiah Pas Taman Melewar, Gombak.

Perhimpunan esok diadakan bertujuan memberi penjelasan dan meraih sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau Akta 355 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Program itu dijangka bermula seawal 2.30 petang dan berakhir 11 malam dengan beberapa aktiviti seperti soal jawab agama oleh penceramah terkenal dan ucapan oleh wakil-wakil NGO yang hadir, wakil kerajaan dan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette