FGV
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Trimex Industries Private Limited (Trimex), untuk meneroka kebolehlaksanaan pembekalan dan pengedaran pelbagai produk minyak sawit untuk menembusi pasaran pertengahan dan hiliran India.

Trimex adalah anak syarikat Trimex Group, salah satu konglomerat mineral dan logam terbesar di rantau ini yang terlibat dalam perniagaan perlombongan dan perdagangan mineral industri dengan logistik di pelabuhan utama di India.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, India adalah pasaran eksport terbesar minyak sawit mentah (MSM) serta ditapis, diluntur dan dihilangkan (RBD) dengan jumlah 600,000 meter tan setiap tahun.

Ia sejajar dengan strategi pengembangan pasaran FGV yang mempelbagaikan penawaran produk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengguna.

“Dengan MoU ini, kita berharap untuk meneroka kemungkinan membekalkan dan mengedarkan minyak sawit FGV ke India dengan kerjasama pemain industri strategik seperti Kumpulan Trimex,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebagai pengimport terbesar minyak sawit dunia, India menyumbang 10-12 peratus daripada penggunaan global.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan dalam pengeluaran minyak yang boleh dimakan dalam negeri tidak dapat seiring dengan pertumbuhan penggunaan dan jurang terus menjadi lebih luas kerana kenaikan pendapatan boleh guna.

Jurang ini sedang dipenuhi oleh minyak makan import hampir 55-65 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan selama lima tahun yang lalu.

Lebih daripada 14 juta tan metrik minyak makan diimport pada tahun 2015 dengan nisbah 89 peratus minyak mentah yang boleh dimakan dan 11 peratus minyak yang ditapis.

MSM adalah minyak makan terbesar diimport oleh India kira-kira 54 peratus diikuti oleh minyak kacang soya dan bunga matahari, masing-masing menyumbang kira-kira 21 peratus dan 11 peratus. – MalaysiaGazette