Siti Kassim

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis kontroversi, Siti Kasim hari ini mahu Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dihukum sebat 80 kali kerana menuduhnya murtad dan memfitnahnya.

“Saya tidak murtad. Dia (Harussani) perlu dengar temubual saya. Jangan terkeliru dengan versi potong dan tampal yang berunsur fitnah oleh menara.my, laman web fundamentalis yang hanya menyerang sesiapa saja yang Islamofasis anggap sebagai liberal.

“Itu fitnah besar untuk menuduh wanita secara salah, boleh dihukum 80 kali sebat menurut al-Quran,” katanya dalam entri Facebook beliau hari ini.

Siti Kassim berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Harussani yang menasihati beliau agar mempelajari dan memahami agama Islam sebelum membuat kenyataan.

Semalam, Harussani dilaporkan berkata, Siti Kasim tidak sepatutnya menyentuh perkara tauhid kerana itu bukan bidangnya kerana ia boleh menjurus seseorang muslim itu menjadi murtad.

Ia ekoran kenyataan Siti Kasim berhubung tuhan dalam satu temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lalu.

Berhubung tuduhan yang sama, Siti Kasim mempersoalkan di mana ’empat saksi’ mufti berkenaan dan berkata; “Syariah tidak menerima video sebagai bukti” sambil merujuk kepada apa yang dilaporkan dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Adakah dia Tuhan? Memahami kepercayaan anda itu perlu. Allah perintah ummah untuk menggunakan akal mereka. Jadi nasihat saya kepadanya ialah dengar nasihatnya sendiri.

“Jangan cakap perkara yang kita tidak tahu kerana ia boleh memudaratkan diri kita sendiri,” katanya. -MalaysiaGazette.

Siti Kassim jahil agama, menjurus ke arah murtad – Mufti

Comments are closed.