Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa menerima permohonan daripada beberapa parti politik untuk menyertai blok pembangkang bersama Gagasan Sejahtera (GS).

Tanpa menamakan parti itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti berkenaan akan bersama dengan Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di ibupejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini, beliau memberitahu, GS akan semakin kuat dengan penyertaan beberapa lagi parti politik yang sealiran dengan perjuangan Pas.

GS kini disertai Pas dan Parti Ikatan, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ketika ditemui di situ, enggan mengulas mengenai kedudukan tiga anggota Exconya.

Bagaimanapun, beliau hanya menjawab ringkas bahawa tiga Exco dan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan teguh bersama kerajaan negeri sehingga Sultan mengeluarkan titah.

Manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula memberitahu, ahli PKR lantikan politik di Kelantan akan terus kekal dengan jawatan masing-masing.

Katanya, Pas Kelantan tidak akan memecat mereka walaupun mendapat arahan dari pucuk kepimpinan PKR.

“Kita tidak akan pecat mereka, kecuali mereka sendiri mahu meletakkan jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette