Drama The Magnificient Century

KUALA LUMPUR – Penyedia rangkaian saluran televisyen berbayar Astro diarah supaya meneliti semula kandungan drama bersiri The Magnificient Century kerana adegan-adegannya didakwa kurang sesuai dengan masyarakat Islam.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, drama tersebut yang disiarkan di saluran Astro Maya HD dan Astro Prima ditapis oleh Atro menerusi tapisan kendiri tanpa melalui Lembaga Penapisan Filem (Finas).

“Bagaimanapun, berdasarkan aduan orang awam, Lembaga Penapis Filem telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan pihak Astro pada 29 Mei lalu.

“Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kerana pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam,” ujar kenyataan itu.

Drama bersiri tersebut berasal dari Negara Turki dan mengisahkan pergolakan istana semasa pemerintahan Sultan Sulaiman pada zaman Kerajaan Islam Uthmaniyah, Turki di abad ke-16. – MalaysiaGazette