Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Ternyata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menerima kritikan demi kritikan isu mengungkit keturunan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kali ini Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu juga tidak ketinggalan.

Dakwanya, Ahmad Zahid menunjukkan tahap pemikirannya yang bersifat kebudak-budakan dan tidak sesuai dengan jawatannya sekarang.

“Saya tidak menyangka sama sekali orang bertaraf Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan juga Timbalan Presiden UMNO (Naib Presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden) boleh mengungkit soal keturunan seseorang.

“Sudah tentulah ungkitan soal keturunan ini meletakkan seorang bertaraf TPM seperti orang kampung, malah tidak keterlaluan saya katakan seperti budak-budak berkelahi dalam bilik darjah,” katanya menerusi kenyataan hari kini.

Mohamad Sabu berkata, jika Ahmad Zahid mahu menunjukkan kesilapan Pakatan Harapan (PH) pada zaman pemerintahan Tun M sekali pun tidak perlu sehingga menyerang peribadi dan keturunan.

Katanya, Ahmad Zahid tidak perlu ‘menumbuk di bawah paras pinggang’ terhadap Tun M. – MalaysiaGazette