Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kiri) bersama Timbalan Pengerusi DAP yang baharu, Gobind Singh (kanan) selepas melalui proses pengundian semula ahli-ahli jawatankuasa pusat tertinggi pada Kongres Khas Parti DAP 2017 di Pusat Konsyensen Ideal (IDCC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2017

SHAH ALAM – Dinasti keluarga Lim yang mendominasi DAP untuk sekian lama akhirnya roboh selepas gandingan dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak lagi popular.

Malah anak mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo berjaya meraih undi kedua tertinggi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini.

Pemimpin veteran DAP, Kit Siang meraih undi tertinggi sebanyak 1,199 undi manakala Gobind mendapat 1,198 undi dimana dibezakan dengan satu undi sahaja.

Ketua Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang pada sidang media selepas melalui proses pengundian semula ahli-ahli jawatankuasa pusat tertinggi pada Kongres Khas Parti DAP 2017 di Pusat Konsyensen Ideal (IDCC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2017

Sementara itu, Guan Eng pula mendapat tempat ketiga dengan 1,180 undi – untuk rekod Ketua Menteri Pulau Pinang itu semasa pemilihan tahun 2014 mendapat tempat kedua dibelakang bapanya.

Pemilihan CEC kali ini menyaksikan kemasukan dua muka baharu dalam senarai 20 anggota yang dipilih 1,346 perwakilan yang mengundi.

Kedua-dua mereka adalah bekas Exco Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Barisan ahli-ahli jawatankuasa pusat tertinggi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang baharu mengangkat tangan pada Kongres Khas Parti DAP 2017 di Pusat Konsyensen Ideal (IDCC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2017

Sementara itu,  dua penyandang yang terkeluar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Boo Cheng Hau manakala mendiang Karpal Singh pula meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada tahun 2014.

Sementara itu, satu-satunya wakil Melayu dipilih mewakili CEC ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan jumlah undi 649 yang berada pada kedudukan kedua terakhir.

Sebanyak 1,356 kertas undi yang dikeluarkan pada pemilihan kali ini,sementara itu hanya 1,346 kertas undi yang dikembalikan semula.

Bagaimanapun, hanya 1,310 undi dikira sebagai undi sah, dengan undi rosak pula sebanyak 36.

Pada 17 Julai lalu, DAP menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC).

Arahan itu dikeluarkan berikutan RoS belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

R0S turut mengarahkan DAP menggunakan semula senarai perwakilan DAP seramai 2,576 orang pada 2012 ketika sesi pemilihan kali ini.

Pemilihan semula DAP diuruskan firma audit bebas, Grant Thornton yang bertindak sebagai pegawai pengurus pilihanraya dan pemilihan firma antarabangsa itu sudah dipersetujui ROS. – MalaysiaGazette

Comments are closed.